MOYANGKU HAJI ALI BIN PUTEH ATAU PANGLIMA ALI PENGIKUT TOK JANGGUT
Assalamua'laikum wbt.
Pada hari Sabtu, 24 Mac 2007, satu kenduri tahlil khas kepada arwah moyangku Haji Ali sempena meletak batu nesan yang baru selepas 41 tahun kematian arwah (tahun 1966M). Izin saya mengisahkan kembali penghidupan arwah moyangku. Haji Ali dipercayai dilahirkan di Kampung Bukit Merbau, Kok Lanas atau Pasir Puteh, Kelantan (tempat lapang sasar PDRM Kelantan). Sebagai pengikut Tok Janggut dalam menentang penjajah, dipercayai bapanya Puteh telah gugur syahid. Akibat dari kekalahan kepada penjajah, mereka berhijrah beramai-ramai meninggal negeri Kelantan pada tahun 1900 hingga 1915. Keluarga Haji Ali telah mewakafkan tanah untuk pembinaan Masjid Bukit Merbau, Kelantan yang ada pada sekarang. Mereka berhijrah banyak ke Negeri Perak seperti Selinsing Bagan Serai, Batu Kurau, Gerik, Beruas dan lain-lain. Manakala ada yang berhijrah ke Kedah seperti Baling, Pendang dan Sik. (Bayangkan mereka berhijrah hanya dengan berjalan kaki dari Pasir Puteh melalui Jeli, hutan Belum ke Gerik atau ke destinasi terakhir). Manakala Haji Ali bersama nenek dan ibunya berhijrah ke Baling, Kedah kemudian ke Jeneri Sik Kedah(tempat kelahiran aku). Pada mulanya Haji Ali menetap di Kampung Tala, Jeneri dan berkahwin dengan Zainab (Tok Nab) dan mendapat seorang anak iaitu Mek Yah (Tok Mek Yah). Apabila Zainab meninggal dunia, Haji Ali mewakafkan tanahnya untuk tanah perkuburan Kg. Tala dan kini terdiri juga atas tanah itu surau baru Kg. Tala. Kemudian Haji Ali berkahwin dengan Sai ah (Tok Sai ah), moyangku dan berpindah ke Kg Kuala Jeneri Sik Kedah. (atas tanah usahanya ini aku dilahirkan ke dunia ini). Hasil perkahwinan itu mendapat seorang anak iaitu Hajah Haliah (nenekku, TokHaliah). Hasil perkahwinan Hjh Haliah dengan Haji Ahmad Tolib (datukku) lahir ayahandaku Haji Ghazali Haji Ahmad yang merupakan cucu kesayangannya. Haji Ali juga terlibat di dalam membina Masjid Jeneri (binaan pertama), pada masakini Masjid Jeneri adalah binaan ketiga. Haji Ali juga mewakaf tanahnya untuk pembinaan surau Kg Kuala Jeneri yang ada pada masakini. Setakat ini dulu, jika ada sesiapa yang berkaitan dengan kisah di atas, boleh menghubungi saya. STK.


<< Home