Monday, February 12, 2007

Keperluan Borang Nyata Zakat Perniagaan (BNZP)

Pematuhan zakat perniagaan oleh kontraktor Muslim di Pulau Pinang tidak begitu memberangsangkan. Buktinya, hanya 85 kontraktor yang telah membayar zakat perniagaan pada tahun 2006 berdasarkan sumber dari Pusat Urus Zakat, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (PUZ). Ini hanya merangkumi 4.49% daripada keseluruhan kontraktor bumiputera di Pulau Pinang yang berjumlah 1,894 firma.
Persoalan di atas turut mempengaruhi peniaga Muslim secara keseluruhan di dalam ketidakpatuhan zakat perniagaan di Pulau Pinang. Hanya 521 orang membayar zakat perniagaan pada tahun 2005 (PPZ WP, 2005) yang hanya merangkumi 0.19% daripada keseluruhan peniaga di Pulau Pinang yang berjumlah 277,571 orang (SSM, 2005). Kutipan zakat perniagaan di negeri ini adalah lebih rendah berbanding dengan kutipan zakat pendapatan dan begitu juga di kebanyakan negeri-negeri lain di Malaysia.
Pendapatan perniagaan merupakan penyumbang terbesar cukai pendapatan negara. Dari tahun 2001 hingga 2004, kutipan cukai pendapatan daripada sumber pendapatan perniagaan ke atas syarikat sahaja menyumbang lebih dari separuh jumlah keseluruhan kutipan cukai. Ini belum lagi di campur dengan kutipan cukai daripada sumber pendapatan perniagaan individu yang terdiri perniagaan tunggal dan perkongsian. (Laporan Tahunan LHDNM, 2001 – 2004)
Berlainan pula dengan kutipan zakat iaitu kutipan zakat ke atas pendapatan perniagaan adalah lebih rendah berbanding dengan kutipan zakat pendapatan gaji di kebanyakan negeri-negeri di Malaysia, walaupun zakat gaji diperkenal pada akhir tahun 1970an dan terdapat negeri tidak mewajibkan zakat gaji dikenakan.
Kutipan zakat perniagaan melebihi daripada kutipan zakat gaji hanya di negeri Johor, Sabah dan Pahang pada tahun 2005. Manakala negeri Perak tidak mewajibkan zakat pendapatan gaji dan tidak mempunyai jumlah kutipan zakat gaji. Ini menunjukkan penerimaan zakat gaji adalah lebih baik berbanding dengan zakat perniagaan. Pada hal hukum zakat perniagaan adalah disepakati kewajipannya. Jadual berikut menunjukkan peratus perbandingan kutipan zakat perniagaan dengan kutipan zakat pendapatan gaji di Malaysia

Jumlah pembayar zakat perniagaan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan jumlah pembayar zakat gaji, sebagai contohnya di Pulau Pinang jumlah pembayar zakat perniagaan adalah 521 orang pada tahun 2005 berbanding jumlah pembayar zakat pendapatan gaji iaitu 33,295 orang pada tahun yang sama iaitu peratus perbandingan kira-kira 1.56% sahaja. (PPZ WP, 2005)
Persoalan di atas ditambah lagi dengan jumlah pembayar zakat perniagaan begitu rendah jika dibandingkan dengan jumlah perniagaan individu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Walaupun perniagaan individu yang berdaftar dengan SSM merangkumi kesemua perniagaan individu termasuk perniagaan bukan bumiputera/Islam. Jika diandaikan peniaga Muslim merangkumi sepuluh peratus sahaja, dan jumlah ini sudah cukup besar sebagai contohnya perniagaan yang dimiliki oleh bumiputera/Islam di negeri Pulau Pinang berjumlah lebih kurang 40,000 buah (sumber SSM Pulau Pinang) iaitu lebih kurang 14.41% dari keseluruhan perniagaan pada tahun 2005.
Peratus perniagaan dimiliki oleh orang Islam akan lebih tinggi di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia jika diandaikan berdasarkan peratus penduduk Islam. Pembayar zakat perniagaan boleh terdiri dari syarikat, perkongsian dan perniagaan tunggal. Perbandingan ditunjukkan dalam jadual berikutnya hanya membandingkan jumlah perniagaan yang berdaftar dengan SSM dengan pembayar zakat perniagaan, jika diambil kira dengan jumlah syarikat yang berdaftar dengan SSM, peratus pembayar zakat perniagaan akan bertambah kecil.
Analisis Perbandingan Jumlah Pembayar Zakat Perniagaan dengan Jumlah Perniagaan Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2005 di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan permasalahan di atas dan hasil kajian saya mendapati kerajaan Arab Saudi mewajibkan setiap peniaga mengemukakan borang nyata zakat perniagaan setiap tahun bersama dengan buku rekod perniagaan seperti di laman web http://www.dzit.gov.sa/en/CommerceZakat/commercezakat7.shtml.
Apabila saya menerima maklumat di atas dan sebagai orang pernah berpengalaman di dalam penggunaan borang nyata tetapi bagi maksud percukaian, saya amat mengharapkan pihak berkuasa zakat agar dapat melaksanakan penggunaan borang nyata zakat perniagaan. Kemungkinan kertas kerja ini tidaklah seberapa sangat tetapi menjadi harapan agar pihak berkuasa zakat dapat lebih melengkapkan lagi. InsyaAllah penggunaan borang nyata zakat perniagaan akan dapat meningkatkan lagi kepatuhan zakat perniagaan. Seterusnya meningkatkan kutipan zakat perniagaan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home