Thursday, November 16, 2006

Kajian: Kepatuhan Zakat Perniagaan

Abstrak:
Pematuhan zakat perniagaan oleh perniagaan tunggal orang-orang Islam di Pulau Pinang tidak begitu memberangsangkan. Buktinya, jumlah kutipan zakat perniagaan di negeri ini adalah rendah berbanding dengan kutipan zakat pendapatan di kebanyakan negeri di Malaysia, walaupun zakat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang berkemampuan, asas kepada struktur ekonomi umat Islam dan mempunyai komitmen yang berterusan terhadap pembangunan sosial-ekonomi secara global. Kenapakah begitu? Kertas ini cuba mencadangkan satu kajian tentang perkara ini. Kajian ini dicadangkan dijalankan ke atas kontraktor perniagaan tunggal yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor di Pulau Pinang, khususnya dari sektor pembinaan. Sektor ini dipilih kerana ia merupakan sektor penting dalam pelaksanaan projek pembangunan kerajaan. Kajian-kajian terdahulu, terutamanya kajian-kajian mengenai kepatuhan zakat gaji, menunjukkan bahawa pemboleh ubah yang positif terhadap pematuhan zakat gaji adalah terdiri daripada undang-undang zakat, kualiti perkhidmatan, pendedahan promosi, sikap dan pengetahuan. Namun demikian, di dalam kajian ini, tumpuan akan diberikan kepada pemboleh ubah khusus bagi kontraktor milik tunggal iaitu nilai keperibadian dan pengetahuan zakat perniagaan, selain daripada pengelakan cukai pendapatan. Kajian ini diharapkan dapat mencapai objektif untuk menjelaskan tentang pengaruh nilai keperibadian dan pengetahuan zakat perniagaan ini ke atas kepatuhan pembayaran zakat perniagaan. Di samping itu, kajian ini juga berhasrat menjelaskan kesan pengelakan cukai pendapatan ke atas hubungan antara nilai keperibadian dan pengetahuan zakat perniagaan dalam kepatuhan zakat perniagaan. Di dalam kajian ini, teori yang digunakan dalam membina kerangka kajian adalah teori perlakuan terancang dan teori kognitif.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home